Followers

11/10/2013

Pertahankan Kemuliaan Islam

Perbuatan menyokong ideologi-ideologi asing atau isme-isme seperti kapitalisme, komunisme, sosialisme, libralisme dan menganggap ideologi tersebut lebih baik daripada ajaran Islam boleh membawa kepada syirik. Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa jua bentuk samada perkataan, pegangan, perbuatan atau iktiqad iaitu dengan menjadikan sesuatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sebagai sekutu Allah. Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 13:
Maksudnya: Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa isu kalimah Allah akan didengar sekali lagi di Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober ini. Sebagai umat Islam yang patuh kepada agamanya, marilah sama-sama kita bersatu padu demi menolak apa jua usaha yang menafikan hak-hak kita sebagai umat Islam. Percayalah bahawa Allah SWT menyatukan umat Islam pada hari ini di dalam ibadah haji dengan berpakaian ihram yang sama, dengan niat yang sama dan dengan perbuatan yang sama. Ingatlah bahawa kesatuan umat Islam di atas satu akidah tanpa mengira latar belakang dan kedudukan. Justeru, mempertahankan kalimah Allah daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang tidak dibenarkan oleh syarak hendaklah dipertahankan.
Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Percayalah mempertahankan kesucian Islam dengan tidak membenarkan pihak lain menghinanya adalah sesuatu yang dituntut. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 72:
Maksudnya: Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

Percubaan menggunakan Kalimah Allah di dalam kitab lain selain al-Quran, akan menimbulkan kecelaruan di dalam sistem kepercayaan uamt Islam. Islam menafikan dan menolak kepercayaan yang berteraskan kepada Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan), God the Son (Anak Tuhan) dan Holy Spirit (Roh Kudus). Persoalan besar timbul di sini, mengapa Kalimah Allah hendak digunakan di dalam Bible, kerana apabila digunakan Kalimah Allah secara langsung akan membatalkan konsep Triniti yang diamalkan oleh mereka. Penggunaannya jelas menjadikan umat Islam keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal identiti Allah SWT serta meruntuhkan akidah ummah.
marilah sama-sama kita mempertahankan dan memantap akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan menolak segala usaha untuk meruntuhkan akidah, menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya.
Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa untuk mempertahankan kesucian agama Islam Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara yang menyeluruh. Berdasarkan maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:
Bermaksud: Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.


Bersempena dengan ibadah haji yang sedang dilaksanakan oleh umat Islam pada ketika ini di kota Mekkah, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan agama Islam dari sebarang penghinaan, dicerobohi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...