Followers

16/06/2015

Tidak Wujud Lagi ‘Pakatan Rakyat’

Kenyataan media Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada 16 Jun 2015 di Kuala Lumpur.


Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) dalam mesyuaratnya pada 15 Jun 2015 telah memutuskan seperti berikut:


Tidak wujud lagi 'Pakatan Rakyat'


Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 sebagai respon bersama oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi memenuhi aspirasi perubahan politik rakyat Malaysia berikutan tsunami pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Dengan sokongan hebat daripada rakyat Malaysia, parti-parti pembangkang memenangi lebih satu pertiga daripada kerusi Parlimen dan lima kerajaan  negeri.

Pimpinan DAP, PKR dan PAS telah bersetuju untuk membentuk Pakatan Rakyat dengan beberapa prinsip yang dikongsi bersama, dengan harapan untuk menyatupadukan kesemua usaha anti-Umno/Barisan Nasional demi mengusung era baru politik dan pentadbiran penuh integriti, akauntabiliti dan demokrasi dalam sebuah negara Malaysia yang progresif.

Juga telah dipersetujui bahawa proses membuat keputusan dalam Pakatan Rakyat haruslah berasaskan konsensus dan kepercayaan bersama di peringkat Majlis Pimpinan.

Di Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada Disember 2009, Dasar Bersama Pakatan Rakyat telah dikemukakan dan dipersetujui oleh ketiga-tiga parti sebagai asas kerjasama tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Muafakat Pakatan Rakyat bukanlah diniatkan sebagai muafakat demi kuasa semata-mata, tetapi sebagai sebuah muafakat yang berpandukan idea, prinsip dan nilai-nilai sebuah negara Malaysia yang baru.

Pakatan Rakyat tampil sebagai alternatif yang mampan bagi menggantikan Barisan Nasional pada PRU ke-13 dan memperolehi 52 peratus undi popular.

Namun, dalam beberapa insiden sepanjang tahun lalu, termasuk krisis Menteri Besar Selangor, keputusan yang telah dicapai di peringkat Majlis Pimpinan telah dicabuli oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mengakibatkan muafakat Pakatan Rakyat hampir lumpuh.

Keadaan Pakatan Rakyat yang hampir lumpuh ini direncatkan lagi dengan kerelaan Hadi untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan bersama Umno serta sokongan beliau terhadap Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak, walaupun telah didedahkan bahawa dana Lembaga Tabung Haji telah digunakan untuk membeli hartanah daripada 1MDB pada harga RM2,773 satu kaki persegi, di Tun Razak Exchange (TRX), yang telah dibeli oleh 1MDB pada harga hanya RM64 satu kaki persegi. BN dan Hadi tidak mempersoalkan kenapa Tabung Haji tidak dibenarkan membeli tanah TRX daripada kerajaan pada harga RM64 satu kaki persegi, dan sebaliknya membeli tanah tersebut daripada 1MDB pada harga RM2,773 kaki persegi.

Perbuatan Hadi memungkiri janji peribadinya di mesyuarat Majlis Pimpinan pada 10 Februari untuk membincangkan cadangan undang-undang hudud PAS terlebih dahulu bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat di peringkat Majlis Pimpinan sebelum ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan atau sebelum rang undang-undang persendirian oleh Hadi dikemukakan di Parlimen tambah melumpuhkan lagi keseluruhan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Pengkhianatan Hadi ini diikuti keputusan besar pada 6 Jun 2015 apabila Muktamar PAS, perhimpunan agung yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti tersebut, menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa sebarang perbahasan.

CEC DAP menerima usul Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan secara langsung mengakibatkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Memandangkan Pakatan Rakyat dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan Dasar Bersama, usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat. Justeru kini, tiada lagi Pakatan Rakyat.

DAP akan bekerjasama dengan Parti KeADILan Rakyat dan semua pihak yang mahu melihat pemerintahan Umno/Barisan Nasional berakhir, bagi membentuk semula politik Malaysia dengan cita-cita menawan Putrajaya demi rakyat. Kesan daripada hal ini terhadap Kerajaan Negeri Selangor pula adalah sokongan DAP bagi kepimpinan Menteri Besar Selangor Azmin Ali untuk merangka semula kerajaan negeri dengan sebuah muafakat yang mampan berasaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat Selangor 2013 yang telah menerima mandat lebih 60% undi popular di negeri itu.

DAP akan berusaha ke arah sebuah muafakat baru yang berprinsip dan lebih meluas yang akan muncul bagi mengisi kelompangan politik serta mampu menyalakan semula harapan ke arah perubahan bagi menjadikan Impian Malaysia kita sebuah realiti, serta masa depan yang lebih baik untuk semua.


- Lim Guan Eng

04/06/2015

Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusar

Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke 54 yang bersidang pada 3 jun 2015/16 sya'ban 1436 H di KUIZM
Tahaaluf Siyaasi (Kerjasama Politik) Dengan DAP

1. Menyedari bahawa DAP sebagai rakan kerjasama politik PAS menerusi Pakatan Rakyat secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Pusat selaku ketua kepada parti.

2. Menyedari juga bahawa Pakatan Rakyat di Sarawak dan Sabah telah dibubarkan ekoran tekanan daripada DAP.

3. Menyedari bahawa DAP telah melangkaui batasan daripada hanya tidak bersetuju kepada menentang dan mengkritik secara lantang dan keras serta melobi ahli-ahli PAS untuk menolak usaha memperkasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah dikanunkan 1993 sebelum penubuhan Pakatan Rakyat.

4. Menyedari bahawa DAP menerusi Lim Kit Siang dalam satu soalan rasmi ke Parlimen bertarikh 18 mei 2015 melakukan provokasi terhadap usaha PAS Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam di Malaysia dengan cuba menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat kenegaraan dan boleh memecah-belahkan negara.

5. Menyedari bahawa DAP secara konsistant dan berterusan menyerang Presiden PAS dengan pelbagai tohmahan dan kutukan.

6. Menyedari bahawa DAP secara berterusan dan konsistant melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dalam PR.

7. Menyedari bahawa DAP telah gagal untuk berpegang kepada prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam.

8. Menyedari bahawa antara syarat-syarat Tahaaluf Siyaaasi (kerjasama politik) dengan parti yang tidak berlandaskan Islam mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam serta mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.

9. Menyedari bahawa sebahagian syarat-syarat keharusan kerjasama politik dengan parti tidak Islam telah dilanggar oleh sebahagian ahli PAS antaranya intimak (penggabungan diri) dan walak ahli hendaklah kepada parti Islam.
MAKA Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke 54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat.
Diterima dgn sebulat suara 644 perwakilan Alim Ulamak jam 6.50 ptg.

Apa dan bagaimana yang dimaksudkan batalkan segala kerjasama bersama DAP tetapi terus kekal dalam Pakatan Rakyat? Selain DAP & PAS hanya tingga PKR sedangkan PKR banyak Kristian/ Kafir yang sikap mereka sama saperti DAP saja...tak faham!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...