Followers

16/10/2013

Apakah Pengundi Sg. Limau Akan Terpedaya Dengan Christopher Zairil Lim?

Pemilihan semula CEC DAP pada 29 September lalu ternyata telah tidak menyelesaikan apa-apa.  Dengan semua yang telah menang dalam pemilihan awal menang semula, dan lebih ramai ketidakhadiran dilaporkan, maka akar umbi DAP terus memendam rasa.  Akibatnya, beberapa negeri mula bergolak kerana tidak tahan lagi dengan sikap kukubesi kepimpinan parti.

Perasaan sakit hati turut dirasai oleh DAP Kedah yang mana kepimpinan atasan telah bertindak membubarkan jawatankuasa DAP Negeri yang dilantik secara demokrasi 2010 dan membentuk jawatankuasa interim tanpa sebarang sebab.  
Ini menyebabkan Pengerusi DAP Negeri, Lee Guan Aik telah dipaksa melepaskan jawatannya kepada Christopher Zairil Lim. 

Perlantikan Christopher Zairil sebagai Pengerusi DAP Kedah membawa makna bahawa DAP telah membelakangkan akar umbi parti serta tidak menghormati mahupun menghiraukan perasaan jawatankuasa negeri, dan juga menipu rakyat Kedah dengan mempromosi Christopher Zairil sebagai Melayu.  Walhal, Christopher adalah berdarah Cina seratus peratus dan hanyalah anak tiri kepada Tan Sri Khir Johari yang mengahwini ibunya pada usianya belasan tahun.  Christopher sebelum ini pernah memberitahu wartawan bahawa beliau dan keluarganya termasuk bapanya tidak begitu ‘selesa’ bergaul dengan orang Melayu mahupun mengamalkan budaya Melayu. 

Tetapi hari ini, dikhabarkan Christopher kini sedang bertungkus-lumus ‘berlatih’ untuk menjadi Melayu bagi menghadapi pengundi dalam Pilihanraya Kecil Sungai Limau. 

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah bagaimana sikap orang-orang PAS menerima Christopher di Sungai Limau.  Apakah mereka akan membiarkan DAP menipu atas alasan membantu parti PAS?   

Sg. Limau hanya mempunyai 3% pengundi Cina dan kehadiran Christopher sebagai Cina tentulah tidak perlu sama sekali.  Maka kita yakin yang Christopher akan hadir sebagai Melayu dengan hanya memperkenalkan diri sebagai ‘Zairil Khir Johari’.  

Secara dasarnya, masyarakat Cina di Kedah adalah berbeza dengan Pulau Pinang.  Rata-rata masyarakat Cina Kedah fasih bertutur loghat Kedah dan hidup di kalangan orang-orang Melayu tanpa apa-apa ‘sekatan’ yang nyata.  Pergaulan semua kaum di Kedah cukup harmoni kerana rakyat Kedah terkenal dengan sikap peramah.

Keharmonian ini agak ‘terganggu’ akhir-akhir ini apabila DAP semakin berkuasa di Malaysia. 
Bagaimanapun, kita percaya masyarakat Cina Kedah akan dapat menilai sendiri sikap DAP yang sanggup membelakangkan akar umbi parti sendiri dan juga mengenepikan jawatankuasa negeri yang dilantik secara demokrasi.  Jelas sudah bahawa DAP bersikap kuku besi dan sanggup menipu dan melakukan apa saja untuk berkuasa walaupun menindas ahli sendiri. 
Perlantikan Christopher Zairil adalah bukti segala apa keburukan DAP ini.   

Justeru, apakah rakyat Sg. Limau sanggup memberi kuasa kepada PAS yang bersekongkol dengan penipu, penindas dan kukubesi? 

Kita percaya, pengundi Sungai Limau, mahupun rakyat Kedah keseluruhannya, dari berbagai parti lebih bijak untuk menilai mana intan dan mana bom jangka.  Kedah tidak perlukan DAP tetapi perlukan BN untuk terus menikmati hidup yang aman dan harmoni. 

Dan DAP itu adalah sebahagian dari PAS.  Memberi kemenangan kepada PAS di Sungai Limau turut bermakna memberi kemenangan kepada DAP melalui Pakatan Rakyat.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...