Beliau berkata, khabar angin tentang dirinya yang mengalami masalah kesihatan sehingga memerlukannya meletakkan jawatan juga tidak betul.

“Saya akan memenuhi kontrak perkhidmatan yang ada sehingga April depan,” katanya kepada pemberita semasa taklimat pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2015 di sini hari ini.

Sebelum ini, laman-laman media sosial menyatakan Zeti yang juga mewakili Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat isu ber­kenaan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bakal meletakkan jawatannya atas beberapa dakwaan, termasuk disebabkan ma­salah jantung.

“Dakwaan mengenai masalah kesihatan saya tidak betul. Saya kerap mengadakan ujian kesihatan dan doktor mendapati jantung saya masih kuat dan saluran darah masih lancar. Setakat ini, doktor tidak mengesan apa-apa masalah kesihatan terhadap diri saya. Cuma sebelum ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, saya hanya mengalami batuk-batuk biasa sahaja,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau masih berminat untuk terus menjadi gabenor selepas April depan, Zeti berkata, dirinya sudah 16 tahun menjadi gabenor dan berpuas hati terhadap prestasinya sepanjang memegang jawatan tersebut.

“Sudah 16 tahun saya menjadi gabenor. Malah, hampir 35 berkhidmat bersama BNM. Apa yang saya ingin lakukan apabila menjadi gabenor telah tercapai. Malah, BNM kini merupakan sebuah institusi negara yang kukuh,” katanya.

Zeti mula menjadi Gabenor BNM pada Mei 2000 dengan lanjutan kontrak setiap lima tahun. Kontrak beliau dijangka berakhir pada April 2016.

Pada 2013, beliau diletakkan dalam ranking ‘Gred A’ sebagai antara gabenor bank pusat terkemuka buat kali ke-10 oleh majalah Global Finance.

Turut sama dalam ranking itu ialah Gabenor Bank Pusat Fili­pina, Amando Tetangco, Jr. dan Gabenor Bank Pusat Taiwan Perng Fai-nan, daripada senarai gabenor bank pusat 50 negara utama.

Menurut Global Finance, ga­benor-gabenor bank pusat dinilai atas daya usaha mereka bertahan daripada campur tangan politik dan tindakan mereka mempengaruhi kerajaan masing-masing dalam isu seperti perbelanjaan dan keterbukaan ekonomi sehinggalah kepada pelaburan asing dan perkhidmatan kewangan.

Penggredan dilakukan pada skala ‘A hingga F’ dalam bidang seperti matlamat pertumbuhan ekonomi, kestabilan semasa dan pengurusan kadar faedah.