Assalamualaikum WBT & salam sejahtera. Akhirnya, terlaksana juga sistem cukai barangan & perkhidmatan (GST) mulai hari ini, 1 April 2015. Pelbagai komen & reaksi orang ramai. Ada juga yang masih mempolitikkan isu ini. Izinkan saya memberikan sedikit pengamatan / pencerahan :
1) GST 6% ini menggantikan cukai jualan 10% & cukai perkhidmatan 6%. Ia bukan cukai tambahan.
2) Kadar 6% yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia. Sebagai contoh, kadar di Singapura 7%, Thailand 7%, Indonesia 10%, Vietnam 10%, Filipina 12%. Di Australia 10% dan di UK jauh lebih tinggi iaitu 20% .
3) Untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat, Kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar sifar atau terkecuali dari GST.
Ini termasuk barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan & sebagainya, ubat-ubatan, buku-buku dan minyak petrol RON95 & Diesel. Berdasarkan pengiraan Kementerian Kewangan, kesan GST terhadap kadar inflasi adalah peningkatan sebanyak 1.1%.
Memandangkan kadar inflasi sekarang adalah pada kadar 1-2%, purata kadar inflasi untuk tahun 2015 dijangka sekitar 3%, satu kadar berpatutan & antara kadar terendah di rantau ini.
4) Tidak semua harga barang & perkhidmatan akan naik. Ada juga yang turun seperti harga kereta yang turun 2-3%. Proton menurunkan harga sehingga RM1,475 seunit manakala Honda antara RM500 hingga RM2,500 seunit.
5) Semasa pelaksanaan GST diumumkan dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, Kerajaan juga telah mengumumkan langkah 'pengimbangan' seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara 1-3%, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25% kepada 24% dan pengurangan cukai perusahaan kecil & sederhana dari 20% kepada 19%.
Pemberian BR1M isirumah berpendapatan RM3,000 kebawah sebulan juga ditingkatkan dari RM500 ke RM650 manakala isirumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan mula diberikan BR1M RM450 buat pertama kali.
Seterusnya dalam Bajet 2015, jumlah BR1M telah dinaikkan masing-masing kepada kepada RM950 & RM750 . Untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 kebawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350. Ini semua bertujuan untuk meringankan impak kenaikan harga barang.
6) Ada peniaga yang merungut tidak diberikan masa yang cukup untuk membuat persediaan GST. Sebenarnya masa 17 bulan yang diberikan adalah munasabah & mencukupi. Mereka yang masih tidak bersedia kebanyakannya berlengah pada peringkat permulaan.
Ada juga yang sengaja mengharapkan agar GST tidak dilaksanakan kerana dengan adanya GST, adalah lebih sukar untuk mengelak dari membayar cukai pendapatan.
7) Seperti dalam mana-mana pelaksanaan sistem baru, memang akan terdapat isu-isu pelaksanaan (teething problems) di peringkat awal. Untuk itu, Kerajaan telah mewujudkan GST hotline Jabatan Kastam 1300888500 dan KPDNKK 1300886800. Kunjungi laman sesawang gst.customs.gov.my untuk maklumat lanjut.
8) Tujuan asal pelaksanaan GST adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan kita hanya ada 2 juta pembayar cukai, satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 28 juta.
GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) dimana mereka yang berbelanja lebih adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan lebih. Ini juga selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang mensasarkan bajet seimbang menjelang 2020.
Dengan peningkatan pendapatan Kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal kita malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan jalanraya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa, dll.
Marilah kita sama-sama menjayakan sistem percukaian yang baru ini. Memang tiada sistem yang sempurna (perfect). Pasti ada kelemahannya. Walau apapun, niat kita murni. InsyaAllah apa yang dihasratkan akan tercapai. Maaf pencerahan ini panjang sedikit. Harap ia membantu.
Terima kasih drp-
YB Dato Seri Wahid Omar-Menteri
No comments:
Post a Comment