Followers

24/03/2015

1 Sukan 1 Sekolah di Putrajaya

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN


TEKS UCAPAN
YB DATuK SERI UTAMA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM SEKOLAH ANGKAT (SUKAN)
BIRO SUKAN UMNO BAHAGIAN PUTRAJAYA
2013 – 2016

24 MARCH 2015, SELASA



Bismillahirrahmannirahim,

Yang Berusaha Saudara/i Pengerusi Majlis,

YBhg. Puan Rosni binti Ab. Jalil,
Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya

YBhg. Encik Ahmad Faisal bin Abd Karim,
Biro Sukan Umno Bahagian Putrajaya

YBhg. Encik Mohd Hazriq Ikhwan bin Mohd Sharif,
Majlis Sukan Wilayah Persekutuan

YBhg. Encik Azri Heikal bin Abd Latiff,
Majlis Sukan Negara,

Yang Dihormati Pengetua, para guru dan pimpinan pelajar.

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan Puan-puan seterusnya para pelajar yang dikasihi sekalian,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Syukur Alhamdulillah kerana pada hari ini saya berkesempatan untuk berjumpa dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian dalam Majlis Perasmian Program Sekolah Angkat (Sukan) Biro Sukan UMNO Bahagian Putrajaya bagi tahun 2013 hingga 2016.

Untuk makluman semua, penganjuran bagi program ini telah diusahakan oleh UMNO Bahagian Putrajaya dan disokong penuh  oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Sukan Negara, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan serta Sekolah Menengah Kebangsaan sekitar Putrajaya.

Idea asal program ini telah diilhamkan oleh pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Biro Sukan UMNO Bahagian Putrajaya bertujuan untuk mencungkil bakat sukan dikalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Parlimen Putrajaya.

Antara objektif utama program ini ialah melahirkan atlet dari kalangan pelajar yang berketrampilan dan berdedikasi serta dapat memberikan saingan diperingkat negeri atau kebangsaan.

Selain itu, program ini juga akan dapat membantu pencapaian prestasi sukan khususnya di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang dianggap wilayah yang agak bongsu dan masih baru dalam persaingan sukan semasa tanah air.

Program ini juga diharapkan akan dapat melahirkan atlet Putrajaya yang dapat memberi saingan mewakili Wilayah Persekutuan diperingkat SUKMA dan acara-acara lain yang lebih berprestij diperingkat nasional dan antarabangsa. 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Menerusi program ini, 11 buah sekolah dari seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 10 buah sekolah menengah harian dan sebuah sekolah berasrama penuh akan dipilih bagi menyertai program ini.

Setiap sekolah akan dibahagikan menurut disiplin sukan yang telah ditetapkan iaitu bola jaring, bola sepak, badminton, ping pong, bola keranjang, bola tampar, bina badan, hoki, sepak takraw, bola baling dan rugbi.

Setiap sekolah juga akan diberikan bantuan dari segi penyelenggaraan tempat, gelanggang, padang, dewan dan gimnasium. Saya difahamkan sebanyak 5 padang, 3 buah dewan, 1 gelanggang bola keranjang, 1 gelanggang bola tampar dan 1 gimnasium akan dinaik taraf bagi tujuan ini melibatkan peruntukan kira-kira RM20,000.00 bagi setiap sekolah.

Selain itu, bantuan berbentuk peralatan sukan, air mineral, modul dan klinik sukan yang akan diselaraskan oleh pihak Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) akan diberikan kepada setiap sekolah yang terlibat. Keseluruhan peruntukan bagi program Sekolah Angkat (Sukan) ini dianggarkan kira-kira RM220,000.00.

Sekali lagi saya ingin mengulangi komitmen saya untuk memberi sokongan dan kerjasama yang berterusan dalam setiap aktiviti yang dijalankan khususnya apabila melibatkan pelajar-pelajar yang juga merupakan anak-anak saya yang bersekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya ini.

Melalui pemberian program sekolah angkat sukan ini, ia membuktikan bahawa kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan Barisan Nasional ini sebenarnya serius dalam membantu rakyat dari pelbagai aspek termasuk membangunkan agenda sukan negara. Ini bertepatan dengan konsep "Janji Ditepati" yang menjadi amalan kerajaan sedia ada dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan rakyat termasuklah bidang sukan seperti mana yang kita laksanakan pada hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah khususnya kepada Biro Sukan UMNO Bahagian Putrajaya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.

Tidak lupa juga ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pentadbir sekolah dan pelajar-pelajar yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program ini. Sesungguhnya, kerjasama yang diberikan amat dihargai dan semoga sokongan yang diberikan ini akan berterusan di masa hadapan.

Dengan ini, saya mengakhiri ucapan saya dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...