‘Kajang Move’ atau Gerakan Kajang adalah satu perancangan untuk
meletakkan Anwar di tempat yang lebih signifikan di dalam politik, iaitu dengan
menjadikan beliau Menteri Besar Selangor.
Mengikut perkiraan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR, gerakan
ini akan membuka peluang yang lebih baik kepada Pakatan Rakyat untuk menawan
Putrajaya dalam Pilihanraya yang akan datang. Memandangkan Anwar telah didapati
bersalah oleh mahkamah, maka Wan Azizah dipersiapkan sebagai boneka pengganti
bagi perancangan ini.
Pendek kata, perancangan tetap tidak berubah tetapi diteruskan
dengan Anwar bergerak di belakang tabir.
Sejauh mana sekutu PKR bersetuju dengan gerakan ini sukar untuk
dipastikan. Apa yang pasti, Wan Azizah tidak mendapat sokongan kuat
sepertimana yang diharapkan PKR. Kemerosotan undi Wan Azizah berbanding
Lee Chin Cheh di Kajang, benar-benar memalukan PKR. Nampaknya, penyokong
PR di Kajang lebih mempercayai seorang yang merupakan ‘nobody’ daripada
Presdien parti sendiri.
Ketidakyakinan rakyat terhadap Wan Azizah bukannya tidak
berasas. Selama ini Wan Azizah diketahui sebagai boneka Anwar
semata-mata dan tidak tahu berbuat apa-apa. Malah, Wan Azizah
sendiri, tanpa berselindung mengakui, tidak tahu bagaimana untuk menangani
kemelut antara Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali, yang mana merupakan masalah
utama PKR Selangor sedangkan beliau adalah Presiden parti.
Ketika ‘disuruh’ bertanding di Kajang juga, Wan Azizah mengaku
tidak tahu menahu mengenainya dan agak keberatan untuk kembali aktif
berpolitik.
Bayangkan, apa jenis Presiden yang tidak tahu apa-apa dan boleh
disuruh-suruh? Bagaimana Wan Azizah boleh dipertimbangkan sebagai Menteri
Besar Selangor, jika begini sikapnya?
Selangor adalah negeri yang paling ‘penting’ dalam Malaysia,
sekali gus menjadikan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan negeri jauh lebih
sukar berbanding negeri lain. Hampir semua isu penting dalam negara
datangnya dari Selangor.
Selangor hari ini berhadapan dengan begitu banyak masalah,
antaranya, masalah air, denggi, jalan yang tidak diselenggara, pusat hiburan
yang tumbuh tanpa kawalan, masalah moral anak muda, masalah murtad, isu kalimah
‘Allah’, isu harga hartanah yang melambung tinggi, isu jurang ekonomi antara
kaum yang semakin luas serta isu perkauman.
Bagaimana Wan Azizah dapat menyelesaikan isu ini yang mana Khalid
Ibrahim juga tidak mampu? Apakah cukup dengan hanya menyalahkan BN atau
UMNO?
Ini belum lagi diambilkira pengurusan kewangan Selangor yang
pastinya memerlukan pengetahuan ekonomi serta ketegasan yang tinggi untuk
menangani persepsi atau mungkin juga hakikat bahawa Selangor kini dikuasai
kontraktor dan peniaga DAP.
Apakah Wan Azizah mampu melakukan semua ini dalam keadaan di mana
suaminya berhadapan dengan penjara dan anaknya pula mempunyai masalah
rumahtangga?
Selama Wan Azizah terlibat dalam politik, satu-satunya
kebolehannya yang harus diakui oleh setiap rakyat Malaysia ialah bakat
lakonannya. Beliau mudah mengalirkan air mata dan meraih
simpati. Itu saja. Lebih dari itu, Wan Azizah sama saja
seperti mana-mana surirumah yang tidak bekerja.
Justeru, ‘Kajang Move’ dengan watak yang bertukar dari Anwar
kepada Wan Azizah merupakan satu strategi yang bakal merugikan rakyat Selangor
sendiri.
Walaupun hakikatnya Anwar di belakang Wan Azizah sekiranya Wan
Azizah menjadi Menteri Besar, ia tetap Wan Azizah yang perlu menghadiri semua
program rasmi negeri serta mempengurusikan mesyuarat, bukan Anwar. Wan
Azizah juga yang perlu menandatangani sebarang dokumen rasmi dan berjumpa
dengan delegasi tetamu negeri, bukan Anwar. Wan Azizah yang perlu ke
pejabat setiap hari, bukan Anwar.
Mampukah Wan Azizah melakukan semua ini? Apakah Wan Azizah
akan berjaya menepis kerakusan politik orang-orang di sekelilingnya di dalam
PKR sendiri? Apakah Wan Azizah mampu menangani kelicikan DAP
atau kebebalan PAS?
Walaupun semua rakyat Selangor sedia maklum bahawa jawapan kepada
semua persolan ini adalah ‘tidak’, tetapi melihat dari kemenangan Wan Azizah di
Kajang, kita tidak mampu mengharapkan tindakan yang rasional dari PR.
Sesungguhnya, penyokong PR tidak peduli biar pun pemimpin mereka tiada
berkredibiliti.
Contohnya, jika diletakkan Wan Azizah dengan Tun Daim sebagai
pilihan Perdana Menteri pun, mereka akan tetap memilih Wan Azizah.
Kata orang, manusia sentiasa mendapat apa yang selayaknya untuk
dirinya. Jika rakyat Selangor layak mendapat MB yang tidak berfungsi,
maka Allah SWT akan meletakkan Wan Azizahlah sebagai MB mereka.
Namun, jika Wan Azizah gagal menjadi MB, maka gagallah sepenuhnya
‘Kajang Move’ ini.
No comments:
Post a Comment