24/03/2014

Kajang Move Gagal Jika Wan Azizah Tidak Jadi MB

‘Kajang Move’ atau Gerakan Kajang adalah satu perancangan untuk meletakkan Anwar di tempat yang lebih signifikan di dalam politik, iaitu dengan menjadikan beliau Menteri Besar Selangor.   

Mengikut perkiraan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR, gerakan ini akan membuka peluang yang lebih baik kepada Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya dalam Pilihanraya yang akan datang. Memandangkan Anwar telah didapati bersalah oleh mahkamah, maka Wan Azizah dipersiapkan sebagai boneka pengganti bagi perancangan ini. 

Pendek kata, perancangan tetap tidak berubah tetapi diteruskan dengan Anwar bergerak di belakang tabir. 

Sejauh mana sekutu PKR bersetuju dengan gerakan ini sukar untuk dipastikan.  Apa yang pasti, Wan Azizah tidak mendapat sokongan kuat sepertimana yang diharapkan PKR.  Kemerosotan undi Wan Azizah berbanding Lee Chin Cheh di Kajang, benar-benar memalukan PKR.  Nampaknya, penyokong PR di  Kajang lebih mempercayai seorang yang merupakan ‘nobody’ daripada Presdien parti sendiri. 

Ketidakyakinan rakyat terhadap Wan Azizah bukannya tidak berasas.   Selama ini Wan Azizah diketahui sebagai boneka Anwar semata-mata dan tidak tahu berbuat apa-apa.   Malah, Wan Azizah sendiri, tanpa berselindung mengakui, tidak tahu bagaimana untuk menangani kemelut antara Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali, yang mana merupakan masalah utama PKR Selangor sedangkan beliau adalah Presiden parti. 

Ketika ‘disuruh’ bertanding di Kajang juga, Wan Azizah mengaku tidak tahu menahu mengenainya dan agak keberatan untuk kembali aktif berpolitik. 

Bayangkan, apa jenis Presiden yang tidak tahu apa-apa dan boleh disuruh-suruh?  Bagaimana Wan Azizah boleh dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor, jika begini sikapnya? 

Selangor adalah negeri yang paling ‘penting’ dalam Malaysia, sekali gus menjadikan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan negeri jauh lebih sukar berbanding negeri lain.   Hampir semua isu penting dalam negara datangnya dari Selangor. 

Selangor hari ini berhadapan dengan begitu banyak masalah, antaranya, masalah air, denggi, jalan yang tidak diselenggara, pusat hiburan yang tumbuh tanpa kawalan, masalah moral anak muda, masalah murtad, isu kalimah ‘Allah’, isu harga hartanah yang melambung tinggi, isu jurang ekonomi antara kaum yang semakin luas serta isu perkauman. 

Bagaimana Wan Azizah dapat menyelesaikan isu ini yang mana Khalid Ibrahim juga tidak mampu?  Apakah cukup dengan hanya menyalahkan BN atau UMNO?

Ini belum lagi diambilkira pengurusan kewangan Selangor yang pastinya memerlukan pengetahuan ekonomi serta ketegasan yang tinggi untuk menangani persepsi atau mungkin juga hakikat bahawa Selangor kini dikuasai kontraktor dan peniaga DAP. 

Apakah Wan Azizah mampu melakukan semua ini dalam keadaan di mana suaminya berhadapan dengan penjara dan anaknya pula mempunyai masalah rumahtangga? 

Selama Wan Azizah terlibat dalam politik, satu-satunya kebolehannya yang harus diakui oleh setiap rakyat Malaysia ialah bakat lakonannya.  Beliau mudah mengalirkan air mata dan meraih simpati.   Itu saja.  Lebih dari itu, Wan Azizah sama saja seperti mana-mana surirumah yang tidak bekerja. 

Justeru, ‘Kajang Move’ dengan watak yang bertukar dari Anwar kepada Wan Azizah merupakan satu strategi yang bakal merugikan rakyat Selangor sendiri.   

Walaupun hakikatnya Anwar di belakang Wan Azizah sekiranya Wan Azizah menjadi Menteri Besar, ia tetap Wan Azizah yang perlu menghadiri semua program rasmi negeri serta mempengurusikan mesyuarat, bukan Anwar.  Wan Azizah juga yang perlu menandatangani sebarang dokumen rasmi dan berjumpa dengan delegasi tetamu negeri, bukan Anwar.  Wan Azizah yang perlu ke pejabat setiap hari, bukan Anwar. 

Mampukah Wan Azizah melakukan semua ini?  Apakah Wan Azizah akan berjaya menepis kerakusan politik orang-orang di sekelilingnya di dalam PKR sendiri?    Apakah Wan Azizah mampu menangani kelicikan DAP atau kebebalan PAS? 

Walaupun semua rakyat Selangor sedia maklum bahawa jawapan kepada semua persolan ini adalah ‘tidak’, tetapi melihat dari kemenangan Wan Azizah di Kajang, kita tidak mampu mengharapkan tindakan yang rasional dari PR.  Sesungguhnya, penyokong PR tidak peduli biar pun pemimpin mereka tiada berkredibiliti. 

Contohnya, jika diletakkan Wan Azizah dengan Tun Daim sebagai pilihan Perdana Menteri pun, mereka akan tetap memilih Wan Azizah. 

Kata orang, manusia sentiasa mendapat apa yang selayaknya untuk dirinya.  Jika rakyat Selangor layak mendapat MB yang tidak berfungsi, maka Allah SWT akan meletakkan Wan Azizahlah sebagai MB mereka. 

Namun, jika Wan Azizah gagal menjadi MB, maka gagallah sepenuhnya ‘Kajang Move’ ini. 


No comments:

Post a Comment