Followers

04/03/2014

Anwar Semakin Pening Perang Azmin vs Khalid

Isu ‘perang dalaman’ yang melibatkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim nampaknya semakin memeningkan kepala Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Walaupun dia sebelum ini dikatakan mampu menyelesaikan konflik tersebut, namun perkembangan terkini isu tersebut nampaknya semakin sulit untuk ditangani. Malah Ketua Strategi parti itu, Rafizi Ramli sebelum ini turut mengakui antara sebab utama mantan Adun Kajang meletakan jawatan adalah bagi membolehkan Anwar bertanding sekali gus menyelesaikan konflik tersebut.

Melalui pendedahan yang dilakukan sebelum ini, masalah dalaman yang melibatkan parti itu bukanlah perkara baru. Ia sebenarnya telah bermula sejak awal tahun lalu dan berterusan sehingga kini.

Isu ini bermula apabila Khalid dikatakan pro kepada kumpulan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, manakala Azmin dilihat tetap berdiri teguh di belakang Anwar. Bermula dengan episod sindir menyindir, perbalahan antara keduanya semakin berlarutan apabila keduanya saling ‘membogelkan’ dan menghentamkan secara terbuka antara satu sama lain.

Pelbagai kritikan pedas turut dilemparkan oleh Azmin sehinggakan Khalid dilihat lemah dan tidak cekap mengurus dan mentadbir negeri Selangor. Namun dengan sokongan kuat yang diberikan oleh Azizah, Khalid bingkas bangun dan membalas kembali serangan Azmin yang akhirnya menyebabkan Adun Bukit Antarabangsa itu dipecat dari jawatan ahli lembaga pengarah PKNS.

Tidak cukup dengan itu, Khalid turut meminta agar beliau dilantik sebagai Pengarah pilihanraya PKR bagi PRK Kajang. Sedangkan sekiranya mengikut amalan biasa, jawatan tersebut sepatutnya di sandang oleh Azmin yang juga merupakan Pengerusi PKR negeri Selangor.

Terbaru, Khalid turut mengumumkan akan mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini.

Ekoran perbalahan yang semakin memuncak itu, Anwar terpaksa mengambil jalan selamat dengan menyokong kedua-dua kumpulan bagi mengelakkan para penyokong mereka memboikot kempennya di Kajang.

Malah portal pro-pembangkang turut mengambil pendekatan menyiarkan berita kononnya Azmin dan Khalid telah bersetuju untuk melakukan ‘gencatan senjata’ sehingga PRK Kajang selesai.

Pemilihan PKR yang akan diadakan ini, bakal menyaksikan pertembungan hebat antara dua kumpulan ini apabila masing-masing turut membawa calon pilihan mereka untuk bersaing merebut semua jawatan tertinggi parti.

Menurut sumber, Khalid dipercayai akan bergandingan dengan Nurul Izzah dan Tian Chua sebagai regu utamanya bagi jawatan Naib Presiden dan Adun Baru Tiga. Bagi jawatan Ketua Wanita pula, kumpulan Khalid akan bergandingan dengan Adun Batu Tiga Rodziah Ismail dan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong sebagai Timbalan Ketua Wanita.

Bagi kumpulan Azmin pula, dia dikatakan akan menyokong ahli parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin bertanding jawatan naib presiden. Shamsul yang sebelum ini merupakan Ketua Pemuda PKR Pusat dikatakan akan mengosongkan jawatan tersebut bagi membolehkan lebih ramai penyokong Azmin diserapkan di dalam jawatan tertinggi parti.

Untuk kerusi Ketua Wanita PKR pula, Azmin dikatakan akan memberikan sokongan penuh terhadap ahli parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin yang juga merupakan penyandang bagi jawatan tersebut.

Seterusnya bagi jawatan Ketua AMK pula, Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari akan bergandingan dengan Adun Seberang Jaya Dr. Afif Bahardin sebagai Timbalan Ketua AMK dilihat sebagai calon pilihan Azmin.

Kesimpulannya pemilihan PKR pada kali ini bakal menyaksikan pertarungan sengit antara dua kumpulan yang saling tamak dan dahagakan kuasa. Walaupun secara dasarnya PKR akan mendakwa pemilihan pada kali ini adalah merupakan sebahagian dari proses demokrasi parti, namun pada hakikatnya graf sokongan Anwar semakin kian menyusut.

Apa yang jelas, Anwar semakin hilang cengkaman pengaruhnya terhadap parti yang diasaskannya ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...