Followers

24/03/2015

1 Sukan 1 Sekolah di Putrajaya

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN


TEKS UCAPAN
YB DATuK SERI UTAMA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM SEKOLAH ANGKAT (SUKAN)
BIRO SUKAN UMNO BAHAGIAN PUTRAJAYA
2013 – 2016

24 MARCH 2015, SELASA



Bismillahirrahmannirahim,

Yang Berusaha Saudara/i Pengerusi Majlis,

YBhg. Puan Rosni binti Ab. Jalil,
Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya

YBhg. Encik Ahmad Faisal bin Abd Karim,
Biro Sukan Umno Bahagian Putrajaya

YBhg. Encik Mohd Hazriq Ikhwan bin Mohd Sharif,
Majlis Sukan Wilayah Persekutuan

YBhg. Encik Azri Heikal bin Abd Latiff,
Majlis Sukan Negara,

Yang Dihormati Pengetua, para guru dan pimpinan pelajar.

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan Puan-puan seterusnya para pelajar yang dikasihi sekalian,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Syukur Alhamdulillah kerana pada hari ini saya berkesempatan untuk berjumpa dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian dalam Majlis Perasmian Program Sekolah Angkat (Sukan) Biro Sukan UMNO Bahagian Putrajaya bagi tahun 2013 hingga 2016.

Untuk makluman semua, penganjuran bagi program ini telah diusahakan oleh UMNO Bahagian Putrajaya dan disokong penuh  oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Sukan Negara, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan serta Sekolah Menengah Kebangsaan sekitar Putrajaya.

Idea asal program ini telah diilhamkan oleh pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Biro Sukan UMNO Bahagian Putrajaya bertujuan untuk mencungkil bakat sukan dikalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Parlimen Putrajaya.

Antara objektif utama program ini ialah melahirkan atlet dari kalangan pelajar yang berketrampilan dan berdedikasi serta dapat memberikan saingan diperingkat negeri atau kebangsaan.

Selain itu, program ini juga akan dapat membantu pencapaian prestasi sukan khususnya di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang dianggap wilayah yang agak bongsu dan masih baru dalam persaingan sukan semasa tanah air.

Program ini juga diharapkan akan dapat melahirkan atlet Putrajaya yang dapat memberi saingan mewakili Wilayah Persekutuan diperingkat SUKMA dan acara-acara lain yang lebih berprestij diperingkat nasional dan antarabangsa. 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Menerusi program ini, 11 buah sekolah dari seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 10 buah sekolah menengah harian dan sebuah sekolah berasrama penuh akan dipilih bagi menyertai program ini.

Setiap sekolah akan dibahagikan menurut disiplin sukan yang telah ditetapkan iaitu bola jaring, bola sepak, badminton, ping pong, bola keranjang, bola tampar, bina badan, hoki, sepak takraw, bola baling dan rugbi.

Setiap sekolah juga akan diberikan bantuan dari segi penyelenggaraan tempat, gelanggang, padang, dewan dan gimnasium. Saya difahamkan sebanyak 5 padang, 3 buah dewan, 1 gelanggang bola keranjang, 1 gelanggang bola tampar dan 1 gimnasium akan dinaik taraf bagi tujuan ini melibatkan peruntukan kira-kira RM20,000.00 bagi setiap sekolah.

Selain itu, bantuan berbentuk peralatan sukan, air mineral, modul dan klinik sukan yang akan diselaraskan oleh pihak Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) akan diberikan kepada setiap sekolah yang terlibat. Keseluruhan peruntukan bagi program Sekolah Angkat (Sukan) ini dianggarkan kira-kira RM220,000.00.

Sekali lagi saya ingin mengulangi komitmen saya untuk memberi sokongan dan kerjasama yang berterusan dalam setiap aktiviti yang dijalankan khususnya apabila melibatkan pelajar-pelajar yang juga merupakan anak-anak saya yang bersekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya ini.

Melalui pemberian program sekolah angkat sukan ini, ia membuktikan bahawa kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan Barisan Nasional ini sebenarnya serius dalam membantu rakyat dari pelbagai aspek termasuk membangunkan agenda sukan negara. Ini bertepatan dengan konsep "Janji Ditepati" yang menjadi amalan kerajaan sedia ada dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan rakyat termasuklah bidang sukan seperti mana yang kita laksanakan pada hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah khususnya kepada Biro Sukan UMNO Bahagian Putrajaya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.

Tidak lupa juga ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pentadbir sekolah dan pelajar-pelajar yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program ini. Sesungguhnya, kerjasama yang diberikan amat dihargai dan semoga sokongan yang diberikan ini akan berterusan di masa hadapan.

Dengan ini, saya mengakhiri ucapan saya dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Sent from Samsung Mobile

20/03/2015

Sedih!!! Dakwa Diri Pejuang Islam Tapi Kotor Lidah Caci Mencaci Sesama Islam


"Bila tak suka pada satu orang satu puak, jangan kita caci maki, berlaku adil lah kerana adil mendekatkan kita dengan takwaAllah. Sedih! bila dakwa diri pejuang islam, penegak keadilan, tapi kotor lidah dengan caci mencaci, gelar menggelar sesama islam. baik di halaman sosial FB atau di kedai kopi, ini bukan ajaran Nabi dan Imam Mahdi. Lebih teruk kafir mengkafir hingga menghalakan darah sesama sendiri. Ini punca perpecahan peperangan ummah sebelum datangnya Imam Mahdi. 

Nabi SAW lebih bimbang .....  tukang syarah yang lebih yang memecah belahkan ummah daripada Dajjal tertulis kufur di dahi. lupakah kita Alquran dan sunnah pusaka Nabi?"

10/03/2015

Aksi Panas Ahli Parlimen Pakatan Depan Bangunan Parlimen

Botak kepala simbolik tuntut Anwar dibebaskan

15 orang penyokong Pakatan Rakyat termasuk 1 ADUN dan 2 Ahli Parlimen membotakkan kepala tanda menuntut pembebasan Ketuanya iaitu Anwar Ibrahim.
Lebih 15 orang membotakkan kepala mereka di depan bangunan Parlimen hari ini sebagai tanda bantahan terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antar yang terlibat dalam kempen itu termasuk  Jimmy Wong (Kota Kinabalu), Nik Maizan Nik Mohamad (Pasir Puteh) dan  Lee Khai Loon (Machang Bubuk).

Pertandingan 5 Penjuru di PRK Dun Chempaka Kelantan


Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan melibatkan pertandingan 5 penjuru. Antara yang menyerahkan borang dalam penamaan calon ialah Calon PAS dan 4 calon bebas.
Calon PAS:
Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad (42thn)
Bebas:
Izat Bukhary Ismail Bukhary (48thn)
Sharif Mahmood (59thn)
Tengku Fadzillah Husin (55thn)
Aslah Mamat (64thn)

PAS di cabar oleh 4 orang calon bebas bagi mengekalkan penguasaan parti itu yang di pegang selama 7 penggal oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

06/03/2015

Video KJ Tanya "Kenapa You (awak) Ni Tak Tall, Dark And Handsome Ye?"



Video Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sekali lagi menarik perhatian di media sosial apabila muncul beberapa minit dalam sebuah video dari Mat Luthfi.

Video berjudul "Be Yourself in a Job Interview by Mat Luthfi " itu berkisarkan tips semasa temuduga kerja.

Video berdurasi 2 minit 41 saat yang diterbitkan oleh Ready4WorkMy:

https://www.youtube.com/watch?v=UAfH7LVKyoM

Aksi dan skrip bersahaja yang dilakonkan Khairy ternyata berjaya mencuit hati penonton.

“Oh..Mat Luthfi, 'please, have a seat' (silakan duduk).

“Mat Luthfi, kenapa you (awak) ni tak 'tall, dark and handsome ye?' (tinggi, gelap dan kacak),” ujar Khairy.

Ada juga komen berbunyi "OK, 'ending' tu memang terbaik..!!!!."

Azmin Tarik Balik Keputusan Batal Projek KIDEX?

SHAH ALAM 5 Mac – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menafikan pernah mengumumkan pemba­talan projek pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) seperti diumumkan sebelum ini, sebalik­nya hanya membatalkan pemba­ngunannya.

Mohamed Azmin berkata, Kementerian Kerja Raya telah pun dimaklumkan mengenainya dan beliau ada menerima surat daripada kementerian itu untuk berbincang secara lebih lanjut.

“Ada dua beza, bukan batalkan projek tetapi batalkan pembangunan kerana itu adalah bidang kuasa kerajaan negeri. Soal tanah, soal kelulusan, itu kuasa kerajaan negeri.

“Kita membatalkan pemba­ngunan kerana ia tidak mematuhi syarat-syarat maka Menteri Kerja Raya menulis surat memaklumkan bahawa kementerian telah dibe­ritahu bahawa pembangunan ini dibatalkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau bercadang bertemu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai pembangunan infrastruktur pengangkutan secara menyeluruh khususnya di negeri ini.
Pada 16 Februari lalu, Mohamed Azmin mengumumkan pembatalan projek pembinaan Kidex atas alasan syarikat konsesi gagal memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan negeri telah memberi tempoh secukupnya supaya syarat-syarat tersebut dipenuhi namun syarikat konsesi terbabit gagal berbuat demikian.

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh syarikat konsesi ialah menyediakan penilaian kesan lalu lintas, sosial dan alam sekitar, menyatakan kadar tol sepanjang tempoh konsesi.


05/03/2015

Blogger Hina Islam Bakal Dihukum Mati?

RIYADH 3 Mac – Penulis blog warga Arab Saudi yang dijatuhi hukuman sebat sehingga 1,000 kali kerana menghina Islam awal tahun ini, didakwa bakal berdepan hukuman mati, kata isterinya, kelmarin.
Ensaf Haidar, isteri kepada Raif Badawi berkata, mahkamah jenayah Arab Saudi mahu membicarakan semula suaminya atas kesalahan murtad selepas dia selesai menjalani hukuman sebat sebanyak 50 kali pada setiap hari Jumaat selama 20 minggu.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu dalam satu kenyataan, mahkamah yang membicarakan semula Raif mempunyai bidang kuasa terhadap kes-kes besar yang boleh membawa kepada hukuman mati.

“Berikutan satu peraturan baharu yang dikeluarkan Majlis Kehakiman Agung pada 19 September lalu, mahkamah jenayah kini mempunyai bidang kuasa terhadap kes-kes besar yang boleh dikenakan hukuman mati, potong anggota badan, dan rejam.

“Kami mempunyai sebab untuk percaya tanpa ragu-tagu bahawa hakim sama sekali lagi meminta Ketua Mahkamah Rayuan untuk mendakwa Raif atas kesalahan murtad,” katanya.
Oleh itu Ensaf berkata, pihaknya meminta masyarakat dunia dan kerajaan asing supaya tidak membiarkan Raif dijatuhi hukuman mati.

“Kami juga memperbaharui rayuan kami kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman supaya mengampunkan Raif dan membenarkannya pulang ke Kanada untuk disatukan semula dengan kami,’’ kata kenyataan itu, lapor Mail Online.

Ensaf kini berada di Kanada bersama anak-anaknya, dan meneruskan kempen bagi membebaskan suaminya.

Raif menarik perhatian dunia selepas dijatuhi hukuman sebat sebanyak 1,000 kali dan mula menjalani sebahagian daripada hukuman sebat itu pada 9 Januari lalu di Jeddah sebelum hukuman itu ditangguhkan akibat luka daripada sebatan tersebut masih belum pulih untuk meneruskan pelaksanaan sebatan seterusnya.
Malah, hukuman sebat itu berjaya dirakam secara rahsia menggunakan telefon bimbit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sekali gus mencetuskan bantahan global.

01/03/2015

7 Amanat Pemimpin Melayu

Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tujuh amanat utama sebagai panduan untuk bangsa Melayu melangkah maju pada abad ke-21 dan menjadi kuat, hebat serta bermaruah. 

Perdana Menteri ketika menggariskan amanat itu dalam Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini berkata, orang Melayu dan umat Islam mesti memperjuangkan ketinggian agama Islam serta syiarnya sebagai agama Persekutuan yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Menurut beliau, amanat kedua menuntut orang Melayu mempertahankan institusi raja-raja Melayu dan hak keistimewaan mereka serta kaum bumiputera yang lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Najib memberitahu, amanat ketiga menegaskan komitmen untuk menegakkan maqasid syariah manakala amanat keempat menyatakan tekad memperkukuhkan ekonomi orang Melayu agar mampu bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini dan di pentas antarabangsa.

Beliau yang juga Presiden UMNO menambah, amanat kelima memberi penekanan terhadap usaha melatih dan mendidik orang Melayu sebagai peneraju yang berilmu, berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berdaya saing, kreatif, inovatif, berwawasan serta berfikiran global namun dalam masa sama, berpaksikan kepada adat resam dan budaya Melayu.

“Amanat keenam iaitu menyuburkan nilai-nilai mahmudah yang mulia lagi terpuji seperti berjiwa besar, semangat juang yang tinggi, berani serta patriotik kepada watan dengan menjauhi sifat-sifat mazmumah yakni tercela, terkeji seperti berdengki dan bersengketa serta bermusuh-musuhan sesama bangsa.

“Amanat ketujuh, memperteguh institusi keluarga dan masyarakat Melayu serta menjadikan nilai murni seperti hormat menghormati, kasih mengasihi, tolong menolong sesama kita di samping itu menjauhi sifat-sifat negatif seperti buruk sangka, saling memfitnah sesama bangsa dan seumpamanya,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad.

Perdana Menteri menegaskan, dengan tujuh amanat tersebut, orang Melayu wajib mengorak langkah dalam mengeratkan silaturahim sesama bangsa.
Beliau berkata, orang Melayu mesti menjadi bangsa yang kuat, hebat, bermaruah dan diberkati Allah SWT.

“Amanat yang dilafazkan ini bagi mewakili semua pemimpin Melayu hendaklah dijadikan peringatan yang kekal untuk kita semua.

“Selagi ada bulan dan bintang serta selagi darah Melayu mengalir dalam tubuh badan kita semua, amanat ini menjadi wadah dan maslahah umat ini dan kita akan terus perjuangkan sampai bila-bila,” ujarnya.

Najib mengakhiri amanatnya dengan laungan ‘Hidup Melayu!’ dan ‘Allahuakbar’ masing-masing sebanyak tiga kali yang seterusnya disambut dengan teriakan gemuruh oleh para hadirin.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...