Isu ‘perang dalaman’ yang melibatkan
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid
Ibrahim nampaknya semakin memeningkan kepala Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.
Walaupun dia sebelum ini dikatakan mampu
menyelesaikan konflik tersebut, namun perkembangan terkini isu tersebut
nampaknya semakin sulit untuk ditangani. Malah Ketua Strategi parti itu, Rafizi
Ramli sebelum ini turut mengakui antara sebab utama mantan Adun Kajang
meletakan jawatan adalah bagi membolehkan Anwar bertanding sekali gus
menyelesaikan konflik tersebut.
Melalui pendedahan yang dilakukan sebelum
ini, masalah dalaman yang melibatkan parti itu bukanlah perkara baru. Ia
sebenarnya telah bermula sejak awal tahun lalu dan berterusan sehingga kini.
Isu ini bermula apabila Khalid dikatakan
pro kepada kumpulan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, manakala Azmin dilihat
tetap berdiri teguh di belakang Anwar. Bermula dengan episod sindir menyindir,
perbalahan antara keduanya semakin berlarutan apabila keduanya saling
‘membogelkan’ dan menghentamkan secara terbuka antara satu sama lain.
Pelbagai kritikan pedas turut dilemparkan
oleh Azmin sehinggakan Khalid dilihat lemah dan tidak cekap mengurus dan
mentadbir negeri Selangor. Namun dengan sokongan kuat yang diberikan oleh
Azizah, Khalid bingkas bangun dan membalas kembali serangan Azmin yang akhirnya
menyebabkan Adun Bukit Antarabangsa itu dipecat dari jawatan ahli lembaga
pengarah PKNS.
Tidak cukup dengan itu, Khalid turut meminta
agar beliau dilantik sebagai Pengarah pilihanraya PKR bagi PRK Kajang.
Sedangkan sekiranya mengikut amalan biasa, jawatan tersebut sepatutnya di
sandang oleh Azmin yang juga merupakan Pengerusi PKR negeri Selangor.
Terbaru, Khalid turut mengumumkan akan
mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini.
Ekoran perbalahan yang semakin memuncak
itu, Anwar terpaksa mengambil jalan selamat dengan menyokong kedua-dua kumpulan
bagi mengelakkan para penyokong mereka memboikot kempennya di Kajang.
Malah portal pro-pembangkang turut
mengambil pendekatan menyiarkan berita kononnya Azmin dan Khalid telah
bersetuju untuk melakukan ‘gencatan senjata’ sehingga PRK Kajang selesai.
Pemilihan PKR yang akan diadakan ini,
bakal menyaksikan pertembungan hebat antara dua kumpulan ini apabila
masing-masing turut membawa calon pilihan mereka untuk bersaing merebut semua
jawatan tertinggi parti.
Menurut sumber, Khalid dipercayai akan
bergandingan dengan Nurul Izzah dan Tian Chua sebagai regu utamanya bagi
jawatan Naib Presiden dan Adun Baru Tiga. Bagi jawatan Ketua Wanita pula,
kumpulan Khalid akan bergandingan dengan Adun Batu Tiga Rodziah Ismail dan Adun
Bukit Lanjan, Elizabeth Wong sebagai Timbalan Ketua Wanita.
Bagi kumpulan Azmin pula, dia dikatakan
akan menyokong ahli parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin bertanding
jawatan naib presiden. Shamsul yang sebelum ini merupakan Ketua Pemuda PKR
Pusat dikatakan akan mengosongkan jawatan tersebut bagi membolehkan lebih ramai
penyokong Azmin diserapkan di dalam jawatan tertinggi parti.
Untuk kerusi Ketua Wanita PKR pula, Azmin
dikatakan akan memberikan sokongan penuh terhadap ahli parlimen Ampang,
Zuraidah Kamarudin yang juga merupakan penyandang bagi jawatan tersebut.
Seterusnya bagi jawatan Ketua AMK pula,
Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari akan bergandingan dengan Adun Seberang Jaya
Dr. Afif Bahardin sebagai Timbalan Ketua AMK dilihat sebagai calon pilihan
Azmin.
Kesimpulannya pemilihan PKR pada kali ini
bakal menyaksikan pertarungan sengit antara dua kumpulan yang saling tamak dan
dahagakan kuasa. Walaupun secara dasarnya PKR akan mendakwa pemilihan pada kali
ini adalah merupakan sebahagian dari proses demokrasi parti, namun pada
hakikatnya graf sokongan Anwar semakin kian menyusut.
Apa yang jelas, Anwar semakin hilang
cengkaman pengaruhnya terhadap parti yang diasaskannya ini.
No comments:
Post a Comment