2.1 Rasuah/ Sokongan Politik
2.1.1 Tidak boleh menyalahgunakan apa jua kuasa dengan tujuan mendorong atau memaksa ahli-ahli UMNO mengundi dalam pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.
2.1.2 Tidak boleh memberi atau meminjam atau meminta atau menawarkan, menjanjikan atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan apa-apa wang atau balasan bernilai dengan tujuan mendorong seseorang Ahli dalam pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.
2.1.3 Tidak boleh memberi atau menerima bagi pihaknya secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa jua hadiah, benda atau faedah sama ada secara zahir atau sebaliknya bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi dalam pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.
2.2 Menggunakan Kekerasan dan UgutanTidak boleh menggunakan atau mengancam untuk mengguna apa-apa jua bentuk kekerasan samada secara fizikal atau bukan fizikal, paksaan, ugutan atau halangan secara langsung atau tidak langsung, dengan tujuan untuk mengakibatkan kecacatan, kerosakan atau kerugian ke atas mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa mana-mana Ahli atau keluarga agar mengundi mana-mana Ahli lain dalam pemilihan parti.
2.3 Penerbitan dan Penggunaan Media Massa, Elektronik atau InternetTidak boleh menerbit, menyiar atau menulis apa-apa risalah, majalah, makallah, buku atau lain-lain karya secara langsung atau tidak langsung yang mempunyai unsur-unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana-mana Ahli parti dalam pemilihan parti.
2.4 FitnahMana-mana Ahli dilarang mengeluarkan sesuatu kenyataan tentang seseorang Ahli lain yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindarinya atau mengelaknya.
2.5 Ejen, Pelobi, Pengurus Kempen atau Perayu Undi
2.5.1 Bagi peringkat Majlis Tertinggi, Ahli-ahli parti dilarang daripada berkempen bagi pihak dirinya dan/atau menjadikan dirinya sebagai ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak mana-mana calon untuk mana-mana peringkat pemilihan parti kecuali untuk majlis penerangan dan/ atau kempen yang dianjurkan di bawah seliaan Ibu Pejabat UMNO Malaysia.
2.5.2 Bagi peringkat Bahagian, Ahli-ahli parti dilarang daripada berkempen bagi pihak dirinya dan/atau menjadikan dirinya sebagai ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak mana-mana calon untuk mana-mana peringkat pemilihan parti kecuali yang dianjurkan di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri masing-masing.
2.6 Majlis dan Pertemuan
2.6.1 Tidak boleh menganjurkan samada secara langsung atau tidak langsung sebarang perhimpunan, pertemuan, jamuan atau apa-apa majlis yang membabitkan Ahli-ahli bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana calon kecuali yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan/ atau Jawatankuasa Penyelaras Pemililhan Negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri.
3. DERMA/ BANTUAN KEPADA PARTI
3.1 Ahli-ahli parti adalah dilarang samada secara langsung atau tidak langsung, memberi sebarang bentuk derma, bantuan atau peruntukan atas kapasiti persendirian atau melalui orang lain dengan tujuan untuk mendapat undi atau sokongan atau mempengaruhi Ahli di dalam pemilihan parti bagi pihak sendiri atau bagi pihak lain.
4. PERNYATAAN AKHBAR ATAU AWAM
4.1 Ahli-ahli parti dilarang membuat apa-apa pernyataan akhbar atau awam secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara sekalipun dan/ atau menyebarkan pernyataan akhbar atau awam berhubungan dengan apa-apa dasar atau keputusan Parti.
Sent from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment