Followers

Showing posts with label khalid. Show all posts
Showing posts with label khalid. Show all posts

04/03/2014

Anwar Semakin Pening Perang Azmin vs Khalid

Isu ‘perang dalaman’ yang melibatkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim nampaknya semakin memeningkan kepala Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Walaupun dia sebelum ini dikatakan mampu menyelesaikan konflik tersebut, namun perkembangan terkini isu tersebut nampaknya semakin sulit untuk ditangani. Malah Ketua Strategi parti itu, Rafizi Ramli sebelum ini turut mengakui antara sebab utama mantan Adun Kajang meletakan jawatan adalah bagi membolehkan Anwar bertanding sekali gus menyelesaikan konflik tersebut.

Melalui pendedahan yang dilakukan sebelum ini, masalah dalaman yang melibatkan parti itu bukanlah perkara baru. Ia sebenarnya telah bermula sejak awal tahun lalu dan berterusan sehingga kini.

Isu ini bermula apabila Khalid dikatakan pro kepada kumpulan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, manakala Azmin dilihat tetap berdiri teguh di belakang Anwar. Bermula dengan episod sindir menyindir, perbalahan antara keduanya semakin berlarutan apabila keduanya saling ‘membogelkan’ dan menghentamkan secara terbuka antara satu sama lain.

Pelbagai kritikan pedas turut dilemparkan oleh Azmin sehinggakan Khalid dilihat lemah dan tidak cekap mengurus dan mentadbir negeri Selangor. Namun dengan sokongan kuat yang diberikan oleh Azizah, Khalid bingkas bangun dan membalas kembali serangan Azmin yang akhirnya menyebabkan Adun Bukit Antarabangsa itu dipecat dari jawatan ahli lembaga pengarah PKNS.

Tidak cukup dengan itu, Khalid turut meminta agar beliau dilantik sebagai Pengarah pilihanraya PKR bagi PRK Kajang. Sedangkan sekiranya mengikut amalan biasa, jawatan tersebut sepatutnya di sandang oleh Azmin yang juga merupakan Pengerusi PKR negeri Selangor.

Terbaru, Khalid turut mengumumkan akan mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini.

Ekoran perbalahan yang semakin memuncak itu, Anwar terpaksa mengambil jalan selamat dengan menyokong kedua-dua kumpulan bagi mengelakkan para penyokong mereka memboikot kempennya di Kajang.

Malah portal pro-pembangkang turut mengambil pendekatan menyiarkan berita kononnya Azmin dan Khalid telah bersetuju untuk melakukan ‘gencatan senjata’ sehingga PRK Kajang selesai.

Pemilihan PKR yang akan diadakan ini, bakal menyaksikan pertembungan hebat antara dua kumpulan ini apabila masing-masing turut membawa calon pilihan mereka untuk bersaing merebut semua jawatan tertinggi parti.

Menurut sumber, Khalid dipercayai akan bergandingan dengan Nurul Izzah dan Tian Chua sebagai regu utamanya bagi jawatan Naib Presiden dan Adun Baru Tiga. Bagi jawatan Ketua Wanita pula, kumpulan Khalid akan bergandingan dengan Adun Batu Tiga Rodziah Ismail dan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong sebagai Timbalan Ketua Wanita.

Bagi kumpulan Azmin pula, dia dikatakan akan menyokong ahli parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin bertanding jawatan naib presiden. Shamsul yang sebelum ini merupakan Ketua Pemuda PKR Pusat dikatakan akan mengosongkan jawatan tersebut bagi membolehkan lebih ramai penyokong Azmin diserapkan di dalam jawatan tertinggi parti.

Untuk kerusi Ketua Wanita PKR pula, Azmin dikatakan akan memberikan sokongan penuh terhadap ahli parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin yang juga merupakan penyandang bagi jawatan tersebut.

Seterusnya bagi jawatan Ketua AMK pula, Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari akan bergandingan dengan Adun Seberang Jaya Dr. Afif Bahardin sebagai Timbalan Ketua AMK dilihat sebagai calon pilihan Azmin.

Kesimpulannya pemilihan PKR pada kali ini bakal menyaksikan pertarungan sengit antara dua kumpulan yang saling tamak dan dahagakan kuasa. Walaupun secara dasarnya PKR akan mendakwa pemilihan pada kali ini adalah merupakan sebahagian dari proses demokrasi parti, namun pada hakikatnya graf sokongan Anwar semakin kian menyusut.

Apa yang jelas, Anwar semakin hilang cengkaman pengaruhnya terhadap parti yang diasaskannya ini.


03/03/2014

Khalid Terpaksa Lawan Timbalan Presiden Untuk terus Berkuasa?

Kononnya ingin memberikan tumpuan terhadap pilihanraya kecil Kajang (PRK Kajang), Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali enggan mengulas isu berkaitan pemilihan PKR yang akan bermula pada 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.

"Saya belum buat keputusan (bertanding dalam pemilihan parti), saya mahu fokus di Kajang.

"Tetapi saya ingin menegaskan fokus hari ini ialah memastikan Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar menang bergaya di Kajang," katanya semalam.

Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengejutkan banyak pihak bila mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu, April ini.

Khalid dikatakan mahu berhadapan dengan Azmin yang merupakan penyandang jawatan itu di peringkat parti serta menjadi pengerusi PKR negeri dan yakin akan mampu mengalahkan Azmin dalam perebutan jawatan tersebut.

“Semua pendekar masuk gelanggang, kalau rasa tidak menang, tak masuk. Saya ada kelebihan dari segi track record dalam semua bidang, saya juga jujur dan sangat berdedikasi. Yang lebih penting ialah saya bekerja untuk agenda reformasi dan saya tidak ada agenda peribadi,” katanya lagi kepada pemberita.

Namun kenyataan Khalid itu dibidas oleh ahli parlimen PKR dari Kuala Langat, Abdullah Sani yang jelas tidak bersetuju dengan alasan yang diberikannya itu.

Ujar Abdullah, seseorang pemimpin serta pentadbir yang baik tidak akan membelakangkan parti selain mengutamakan kepentingan rakyat.

"Track record Azmin jauh lebih baik daripada apa yang dilakukan Khalid. Track record Azmin Ali sebagai pentadbir selama 15 tahun ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Kewangan," katanya.

Katanya, rekod Khalid sebelum menunjukkan ADUN Perlabuhan Klang itu telah beberapa kali membelakangkan parti dan terbaru beliau bertindak menandatangai Perjanjian Persefahaman (MoU) berhubung isu air dengan Putrajaya, tanpa memaklumkan hal itu kepada parti.

"Persetujuan dengan Syabas (menjadikan) 37 peratus (tarif) air akan dinaikkan pada 2014. Macam mana dia kata dia 'good administrator’? “soalnya. 

Khalid sebelum ini dikritik pemimpin PKR bersabit tindakannya itu.

Isu bertanding ini timbul, apabila Khalid dan Azmin dilihat saling ‘tikam-menikam’ antara satu sama lain dan pertikaian antara mereka dilihat semakin meruncing sejak lewat tahun lalu. 

Azmin menjadi timbalan presiden PKR sejak tahun 2010 dan tidak lama kemudian menjadi  Pengerusi PKR Selangor, menggantikan Khalid. 

Beliau sering menegur Khalid kerana tidak melaksanakan dasar-dasar parti dalam menguruskan kerajaan negeri. 

Pertikaian berpanjangan itu dikatakan membawa kepada keputusan PKR untuk “memaksa” pilihan raya kecil Kajang diadakan sebagai keadah meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid. 

Menurut sumber, Khalid enggan meletak jawatan sebagai MB secara sukarela, malah mahu menguatkan kedudukannya di dalam PKR, justeru mengambil keputusan untuk melawan Azmin bagi jawatan No. 2 parti. 

“Jika Khalid berundur atau dipaksa berundur sebagai MB, pemilihan PKR adalah  satu-satu opsyen yang tinggal kepada Khalid untuk memastikan beliau masih relevan kepada PKR,” kata sumber itu lagi.  


27/02/2014

Azmin Pula Saman Akhbar Suara Keadilan RM 2Juta?

Mungkin kerana tidak berpuas hati dengan tindakan editorial akhbar Suara Keadilan menerbitkan artikel yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja ingin menjatuhkan maruahnya, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang.

Menurut sebuah portal pro-pembangkang, Azmin dikatakan menyaman akhbar yang merupakan lidah rasmi parti PKR itu sebanyak RM 2 juta, kerana menerbitkan artikel yang memalukannya.

Namun usaha untuk mendapatkan pengesahan Azmin berhubung isu tersebut gagal, apabila dia tidak dapat dihubungi. Menurut sumber terdekat, ahli parlimen Gombak itu sedang berada di tanah suci bagi mengerjakan ibadah umrah.

Terdahulu, akhbar tersebut telah menyiarkan rencana yang menghentam Azmin secara terbuka. Artikel yang ditulis oleh Hishamuddin Rais itu telah disiarkan oleh akhbar tersebut pada keluaran 160, bertarikh 11 Februari 2014 di muka surat 22.

Pada tarikh yang sama, artikel tersebut turut disiarkan oleh portal Malaysiakini yang juga merupakan media tidak rasmi kepada pembangkang.

Hishamudin di dalam artikel yang bertajuk ‘Khalid dan Azmin’ itu antara lainnya melabelkan Azmin sebagai pemimpin PKR yang mempunyai unsur dan ideologi Umno sehingga menyebabkan dia kurang disenangi oleh pimpinan parti termasuklah dari Pas dan DAP.

“Hanya PAS dan DAP sahaja yang dapat menjawab kenapa mereka merasa tidak yakin terhadap si Azmin… Dalam masa yang sama Azmin Ali yang tidak diyakini ini berpangkat Timbalan Presiden PKR.

“Mungkin PAS dan DAP juga menyedari dan terpengaruh apabila mengetahui bahawa sosok yang bernama Azmin Ali ini tidak diminati ramai dalam PKR sendiri. Azmin Ali disurahkan sebagai pemilik DNA - United Malays National Organisation. Azmin disurahkan sebagai sedang membawa budaya gerombolan ‘lanun Melayu’ ke dalam badan politik PKR”, dakwanya.

Hishamudin yang merupakan antara penyokong kuat Anwar itu turut mengatakan, disebabkan Azmin membawa DNA barah, dia adalah antara punca berlakunya masalah di Selangor dan PKNS sehingga MEMAKSA campur tangan Anwar.

“Dalam masa yang sama kisah Azmin dan duit ini masuk akal juga. Untuk pengundi di Gombak atau di Seri Setia – mereka tertanya-tanya kenapa si Azmin ini gila-gila sangat nak jadi MB Selangor? Kenapa begitu gian hendak jadi MB?

“Tidak cukupkan menjadi Adun dan YB Parlimen Gombak? Kalau ingin membantu rakyat, kalau mahu menolong warga miskin apakah perlu menjadi MB? Soalan-soalan ini telah berdengung di semua kepala yang berfikir. Macam ada Cukong di sebalik Gombak.

“Mari kita lihat perangai Azmin semenjak selesai PRU13 dahulu. Apabila rakyat bangun membantah penipuan PRU13 – Si Azmin Ali ini baling sepana. Azmin memberi ingatan agar orang ramai TIDAK dibawa ke jalan raya. Twiter Azmin yang mempertikaikan langkah turun ke jalan raya untuk membantah penipuan PRU13. Isi Twiter si Azmin ini jelas bersifat ‘sabotaj’. Ini ciri dan watak DNA United Malays National Organisation” dakwa Hishamudin lagi.

Di dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty telah ditubuhkan bagi menyiasat perkara tersebut.

"Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) yang diadakan di Kajang baru-baru ini. Keputusan MPP ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada lima orang untuk kemudiannya berjumpa dengan kumpulan Suara Keadilan bagi mengumpulkan maklumat, latar belakang dan mendengar pandangan mereka," katanya.

Jelas Saiduddin, PKR hanya akan bertindak selepas mendapatkan fakta lengkap terhadap siasatan yang sedang dijalankan itu.

"Kalau nanti mereka menemui maklumat seperti surat guaman dan sebagainya ke atas Suara Keadilan, jawatan kuasa itu akan bawa saranan kepada pimpinan pusat. Buat masa ini belum terima. Saya dengar begitu (saman Suara Keadilan)...hanya diberitahu melalui SMS," katanya lagi.

Kesimpulannya sekiranya isu ini benar, tindakan Azmin ini mungkin sebagai reaksi terhadap cubaan beberapa individu di dalam parti yang cuba membunuh karier politiknya menjelang pemilihan parti itu yang bermula bermula 25 April ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...