Followers

Showing posts with label kalimah. Show all posts
Showing posts with label kalimah. Show all posts

23/06/2014

Mahkamah Tolak Permohonan Rayuan Gereja Katolik Dalam


Pertikaian kalimah Allah dalam The Herald selesai, mahkamah tolak permohonan Gereja Katolik
Pertikaian dan perebutan pengunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Katolik, The Herald sejak tahun 2009 berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Geraja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, The Herald hari ini.
Dalam penghakiman 7 panel yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu empat hakim menolak permohonan rayuan Geraja Katolik sementara tiga lagi menyokong.

Keputusan dibuat selepas mendengar penghujahan pihak Gereja Katolik dan kerajaan serta majlis agama Islam pada 5 Mac lalu.

Empat hakim yang menolak permohonan Gereja Katolik adalah Arifin, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar

Sementara hakim yang menyokong rayuan adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha. 

Peguam yang mewakili pihak kerajaan, Datuk Zainol Rijal Abu Bakar berkata, keputusan dibuat selepas panel hakim meneliti 28 persoalan yang dikemukakan kepada Mahkamah Pesekutuan untuk dijawab.
"Selepas penelitian dibuat terhadap 28 persoalan itu, majoriti hakim berpendapat permohonan Gereja Katolik untuk merayu tidak memenuhi Seksyen 96 untuk permohonan mereka didengar," jelas Zainol Rijal yang ditemui selepas prosiding mahkamah selesai. 

Keputusan yang diumumkan pada kira-kira 10.15 pagi itu disambut dengan penuh syukur kira-kira 300 penganut Islam yang berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman di sini sejak seawal tujuh pagi tadi.

Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada 16 Februari 2009 apabila pihak Gereja Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Gereja Katolik menuntut, antara lain satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Katolik, The Herald adalah tidak sah dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.
Akhbar mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God bagi seksyen bahasa Melayu namun pihak kerajaan dan majlis agama Islam berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Melayu, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald.

Pada Julai 2013, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan permohonan rayuan majlis agama Islam dan pihak kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald

Pada 22 Ogos 2013 Mahkamah Rayuan menolak permohonan berkenaan sekaligus membenarkan pihak majlis agama Islam dan kerajaan meneruskan rayuan.

Pada 14 Oktober 2013 panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohamad Zawawi Salleh membuat keputusan menghalang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah selepas mendengar hujah rayuan pihak kerajaan dan beberapa majlis agama Islam negeri pada 10 September 2013.-UTUSAN ONLINE

09/09/2013

Kelirukan Islam Dengan Kalimah #Allah

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, sesuatu yang gah namanya dan teguh kedudukkannya akan senantiasa dilanda ancaman dan percubaan untuk mengugat keagungannya. Demikianlah kedudukan agama Islam dan umatnya pada hari ini, diancam dari segenap sudut samada dari segi sosial, syariah dan akidah termasuklah isu penggunaan kalimah Allah SWT. Mereka ini melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan sehingga menimbulkan pandangan dan pentafsiran yang salah tentang agama Islam dan Allah itu sendiri. Lebih malang lagi mereka sanggup mempertikaikannya sehingga membawa isu ini ke mahkamah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah membahaskan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukkan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ingatlah, kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam. Contohnya, adakah kita sanggup mendengar golongan bukan Islam memanggil gereja, rumah ibadat dan rumah berhala mereka sebagai rumah Allah?, memanggil tuhan dan berhala mereka sebagai Allah? Bayangkan pula, apakah akidah generasi muda Islam jika fenomena ini berlaku di negara kita? Sudah pastilah ramai yang akan keliru, terpesong dan berlakulah lautan murtad yang sedahsyat-dahsyatnya.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Perkataan Allah, solat, tauhid, Rasul, Kaabah ,Haji merupakan hak orang Islam yang tidak boleh di cerobohi oleh mana mana pihak kerana ianya akan memberi kesan kepada pemikiran dan akidah umat Islam.

Ingatlah bahawa semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72: Bermaksud:Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.

Persoalan besar timbul di sini adakah kita redha untuk menyatakan bahawa Allah SWT itu merupakan salah satu daripada tiga tuhan?. Sudah pasti kita sebagai umat Islam tidak redha malah yakin bahawasanya Allah SWT itu Maha Esa. Ketahuilah bahawa kalimah Allah adalah nama khas bagi tuhan yang Maha Esa. Oleh sebab itu, tidak boleh menterjemahkan perkataan God dalam bahasa Inggeris kepada kalimah Allah.

Syirik adalah perbuatan menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan makhluk dalam apa jua bentuk sama ada perkataan, kepercayaan, perbuatan dan iktikad. Para ulama membahagikan syirik kepada dua kategori iaitu syirik akbar (besar) dan syirik asghar (kecil). Syirik besar seperti menyekutukan Allah SWT secara terang-terangan termasuk menyembah sesuatu selain Allah atau menyamakan kuasa Allah dengan makhluk. Manakala syirik kecil seperti riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia dan sebagainya.

Apa yang sangat mendukacitakan kita lagi ialah ada segelintir orang Islam yang langsung tidak sensitif berkaitan perkara ini, malah menganggap ini adalah hanya isu kecil serta sanggup mencadangkan supaya pengunaan kalimah-kalimah Islam termasuk kalimah Allah SWT dibenarkan penggunaannya oleh orang yang bukan Islam. Inilah contoh perbuatan mereka yang mengkhianati agama Islam dan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan agama Islam. Mimbar amat bimbang cadangan tersebut boleh terjerumus dalam perbuatan syirik. Tiada faedah seseorang itu beribadah siang dan malam, jika imannya rosak dan dipengaruhi oleh unsur-unsur syirik, perbuatan syirik hanya akan menghalang seseorang mukmin dari mendapat keredaan dan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 72: Maksudnya: Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

Ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang melakukan syirik adalah berdosa besar dan tidak diampunkan oleh Allah SWT dan tempat mereka di akhirat nanti adalah di neraka.

Sebagaimana yang diketahui umum bahawa isu kalimah Allah akan didengar sekali lagi di Mahkamah Rayuan pada 10 September (esok) ini. Justeru, sebagai umat Islam marilah sama-sama kita menolak apa jua usaha yang mencabar hak-hak kita sebagai umat Islam. Percayalah bahawa Allah SWT menyatukan kita semua pada hari ini di dalam saf-saf dan seterusnya kita akan menunaikan solat di atas satu akidah, di atas satu takbir, dan di atas satu salam, perkataan, ungkapan dan bacaan yang sama. Justeru, marilah bersama-sama kita bersatu hati mempertahankan kebenaran, rapatkan barisan, meneguhkan kekuatan dan persediaan, menggerakkan segala usaha dengan penuh keberanian demi agama yang tercinta ini.

Disini juga gesaan kepada pihak  yang berwajib agar mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam. Perjuangan bagi mempertahankan kalimah suci Allah dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.

Menjadi tanggungjawab kita menyeru semua pihak, marilah sama-sama kita mempertahankan dan memantap akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang berkaitan akidah, menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Percayalah mempertahankan kesucian  Islam dengan tidak membenarkan pihak lain menghinanya adalah sesuatu yang di tuntut. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 65:
Maksudnya:Dan sesungguhnya telah diwahikan kepadamu dan Nabi-nabi sebelummu: Sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan Allah tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi”.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...