Followers

09/09/2013

Ahli Parlimen Muslim Tidak Terusterang Dalam Tuntutan UPR, COMANGO

Ahli Parlimen Muslim diminta dedahkan kandungan taklimat UPR oleh COMANGO
Pada 11 Julai 2013 lalu, suatu sesi taklimat bagi ahli-ahli parlimen telah diadakan oleh Gabungan NGO Malaysia bagi Proses UPR (COMANGO) di bangunan Parlimen. Sesi taklimat tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Chua Tian Chang, ahli parlimen Batu, dan dihadiri beberapa wakil NGO Hak Asasi Manusia (HAM), di antaranya Honey Tan (COMANGO report), Angela Kukathas (SOGI report – Sexual Orientation and Gender Identity), Masjaliza Hamzah (CIJ report – Centre of Independent Journalism) Daniel Lo (MWG report by CAMSA, Coalition to Abolish Modern-day Slavery in Asia) dan Andrew Khoo (Majlis Peguam Malaysia).
Taklimat yang dijalankan telah disandarkan pada Deraf Laporan COMANGO (DLC) bertarikh 11 Mac 2013, yang dihantar sebagai laporan 'stakeholder' kepada proses Semakan Berpenggal Sejagat (UPR), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN). Giliran Malaysia menjalani proses UPR tersebut adalah pada 24 Oktober 2013 akan datang di Geneva, Switzerland. Komitmen dan tanggungjawab Malaysia terhadap rekod dan pencapaian hak asasi manusianya akan disemak bagi menentukan bahawa Malaysia telah melaksanakan komitmen terhadap beberapa syor yang telah dikemukakan Negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa pusingan pertama proses UPR pada tahun 2009 lalu dilakukan.
Di antara isu-isu yang ditimbulkan di dalam Deraf Laporan COMANGO tersebut adalah:
i) Isu berkaitan Orientasi Seks dan Identiti Gender (SOGI) yang ditimbulkan dan terdapat tuntutan serta tekanan-tekanan untuk menghapuskan peruntukan-peruntukan sedia ada yang melarang perlakuan LGBTIQ. Secara khususnya, COMANGO menuntut penghapusan seksyen 377A Kanun Kesiksaan berhubung salah laku liwat dan juga pematuhan terhadap saranan-saranan yang terkandung di dalam Prinsip-prinsip Yogyakarta yang bertujuan memberikan hak dan kebebasan kepada golongan LGBTIQ, yang ternyata bercanggah dengan prinsip-prinsip fitrah kemanusiaan, realiti budaya dan panduan beragama. (Rujuk perkara 6.4 dan 6.7 DLC);
ii) Campurtangan dan usaha menghapuskan peruntukan-peruntukan berkaitan kesalahan-kesalahan jenayah syariah dan enakmen-enakmen berkaitan yang diberikan label negatif seperti "moral policing" dan dianggap sebagai melanggar "hak-hak peribadi". (Perkara 9.1 dan 9.5 DLC). Hal ini menyentuh peruntukan-peruntukan yang lahir dari kedudukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memposisikan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Enakmen-enakmen berkaitan kesalahan-kesalahan Syariah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri-negeri;
iii) Campurtangan berhubung isu tuntutan penggunaan nama 'Allah' oleh The Herald Weekly. Wujud agenda terancang untuk memberikan tekanan terhadap sistem kehakiman di Negara ini yang masih lagi belum memutuskan isu ini di peringkat Mahkamah Rayuan. Malah, Jagir Singh presiden Majlis Perundingan Agama bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCSHT) telah pada 10 Ogos 2013 mengeluarkan ugutan untuk membawa isu tuntutan ini ke peringkat Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu. Kenyataan Jabir ini konsisten dengan isu penggunaan nama 'Allah' yang disebut di dalam DLC (Rujuk Perkara 10.1.1 DLC);
Ahli-ahli parlimen beragama Islam yang hadir di dalam taklimat COMANGO tersebut didesak untuk tampil ke hadapan dan mendedahkan isi kandungan taklimat kepada masyarakat awam. Melihat dari sebahagian dari isu-isu yang ditimbulkan, ternyata bahawa proses UPR ini telah dan akan terus dijadikan saluran untuk memanipulasi isu-isu HAM bagi menghakis kedudukan istimewa Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan dan menafikan hak-hak orang Islam dengan cara menampilkan nilai-nilai hak asasi manusia barat yang sarat dengan unsur-unsur sekularisme, liberalisme dan pluralisme. Wujud juga usaha untuk mengenengahkan orientasi kehidupan yang bebas dari nilai-nilai agama dan budaya ketimuran melalui tuntutan-tuntutan hak-hak LGBTIQ dan kebebasan untuk murtad.
Kerajaan Pusat didesak tidak tunduk terhadap tuntutan-tuntutan songsang yang wujud atas nama hak asasi manusia (HAM), demokrasi dan kebebasan yang dinyatakan di dalam DLC tersebut. Tuntutan-tuntutan tersebut yang berselindung atas nama HAM, demokrasi dan kebebasan pada hakikatnya ingin menuntut hak-hak yang dipelopori golongan sekular dan liberal barat yang menyanjung kehidupan tanpa agama dan bebas seperti yang diamalkan di Barat.
Kerajaan Pusat juga perlu sedar bahawa undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (Emergency Ordinance) yang telah dihapuskan adalah hasil tekanan-tekanan konsisten pertubuhan-pertubuhan HAM yang telah menggunakan saluran UPR ini untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan mereka. Hasilnya kita sedang berdepan dengan ancaman-anacaman jenayah yang semakin berleluasa dan juga timbulnya pelbagai bentuk ajaran sesat termasuklah faham syiah yang semakin berani menzahirkan diri mereka di kalangan masyarakat.
Selain itu, pada setakat tahun 2013, sebanyak 14 negara di dunia, yang terkini New Zealand, yang telah mengizinkan dan mengiktiraf perkahwinan sesama jenis akibat penghapusan undang-undang yang pada awalnya melarang perlakuan LGBTIQ. Kerajaan perlu berwaspada untuk tidak tunduk pada tekanan-tekanan lobi LGBTIQ ini kerana mereka sangat bergantung pada Prinsip-prinsip Yogyakarta 2006 dan proses UPR ini untuk mendapatkan hak-hak mereka.
Di Negara jiran seperti Thailand, usaha-usaha telah dimulakan kearah mewujudkan undang-undang bagi mengizinkan dan mengiktiraf perkahwinan sejenis. Dalam hal ini, Malaysia perlu mengambil iktibar kedudukan di Singapura yang telah menolak usaha mengisytiharkan undang-undang anti-liwat sebagai lapuk. Menerusi suatu kes yang diputuskan Mahkamah Tinggi Singapura di dalam kes Lim Meng Suang & Satu Lagi lawan Peguam Negara pada 9 April 2013 lalu permohonan Plaintif untuk mengisytiharkan undang-undang anti-liwat di dalam Kanun Kesiksaaan Negara tersebut sebagai tidak keperlembagaan (unconstitutional) telah ditolak Mahkamah Tinggi.
Adalah amat dikesali bahawa ahli-ahli parlimen beragama Islam yang telah hadir semasa sessi taklimat tersebut tidak berterus terang dengan rakyat tentang tuntutan-tuntutan berbahaya yang telah ditimbulkan di dalam DLC yang bertentangan dengan aspek-aspek keagamaan. Sebagai wakil-wakil rakyat yang dipilih melalui sistem demokrasi, mereka bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyuarakan isu dan permasalahan masyarakat, tetapi hendaklah bersikap telus dan berani di dalam menyatakan perkara yang hak, apatah lagi apabila perkara-perkara tersebut bertentangan dengan teras aqidah, syariah dan akhlaq umat Islam, serta keluruhan moral masyarakat Malaysia secara umumnya.
Azril Mohd Amin ialah Naib Presiden, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM). 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...