14/05/2013

SPR Menipu Walaupun Tiga Negeri Milik PR


Secara rasminya pada tanggal 14 Mei 2013, Abdul Khalid Ibrahim yang mendapat sokongan penuh dari Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail telah dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor sekali gus melengkapkan senarai tiga buah negeri dikuasai PR selesai upacara angkat sumpah untuk jawatan MB dan KM.

Selain mengekalkan penguasaan di Selangor, PR yang merupakan pakatan tidak rasmi tiga parti pembangkang utama melibatkan DAP, PKR dan PAS juga menguasai kembali Pulau Pinang dan Kelantan serta turut meraih pencapaian lebih baik di Johor, Terengganu dan Sarawak.

Pakatan pembangkang itu turut mencatat prestasi lebih baik di peringkat Parlimen apabila menawan 89 kerusi Parlimen berbanding hanya 82 sahaja pada PRU-12 2008 yang lalu.

Untuk rekod, Kerajaan PAS Kelantan selesai mengangkat sumpah untuk jawatan MB dan EXCO pada 6 Mei sementara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selesai upacara mengangkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinanguntuk penggal kedua pada keesokan harinya.

Namun disebalik kejayaan itu, ramai rakyat Malaysia khususnya penduduk Selangor tertanya-tanya apa pula perlunya Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan gerombolan pemimpin PR sibuk menjelajah seluruh negara menghasut penyokong pakatan pembangkang supaya menolak keputusan PRU-13 kononnya kerana wujud unsur penipuan oleh SPR.

Antara propaganda yang dimainkan ialah wujud pengundian melibatkan warga asing, blackout semasa pengiraan undi, dakwat kekal yang mudah luntur, ketidakadilan SPR serta pelbagai lagi tohmahan yang semuanya menjurus kepada penolakan mereka terhadap keputusan PRU-13.

Menolak keputusan PRU-13 atas apa sahaja tohmahan yang dilemparkan, ia sama seperti tidak mengiktiraf ketelusan dan keadilan perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR.

Peliknya, dalam beriya-iya mereka menuduh itu ini terhadap SPR di masa yang sama mereka meraikan pula kejayaan mereka mengekalkan penguasaan di tiga buah negeri serta berbangga dengan kejayaan meraih 89 kerusi Parlimen sambil menyebarkan pula propaganda bahawa BN telah ditolak oleh rakyat Malaysia.

Walhal, jika tohmahan Anwar dan pemimpin PR yang lain dijadikan sandaran, bukankah itu bermakna perlantikan Khalid sebagai MB Selangor untuk penggal kedua sama seperti satu pengiktirafan terhadap penipuan dan ketidaktelusan yang dikatakan wujud dalam PRU-13.

Ini juga bermaksud Kerajaan PAS Kelantan dan Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah kerajaan haram kerana ditegakkan hasil dari penipuan kerana yang mengumumkan kemenangan mereka ialah SPR selaku badan rasmi pengendali pilihan raya di seluruh negara,bukan begitu?

Di lihat dari pelbagai sudut sekali pun, jelas tohmahan yang dilemparkan oleh Anwar dan kuncu-kuncunya berhubung PRU-13 langsung tak berasas.

Sekarang Anwar tersepit bila mana propaganda yang dimainkannya tidak selaras dengan realiti semasa di mana PR turut meraih keuntungan hasil dari proses pilihan raya kendalian SPR.

Jika Anwar benar yakin wujud penipuan, ketidak adilan atau berlakunya penyelewengan dalam keputusan PRU-13, patutnya sedari awal lagi Ketua Umum PKR itu menghalang Kerajaan Negeri yang dikuasai PR dari mengangkat sumpah.

No comments:

Post a Comment